Nama: Kiki Nazrin Kiki
Jantina: Lelaki
Assalamualaikum. Nama Saya Nazrin. Saya nak luahkan masaalah saya sepanjang saya bercinta dengan perempuan yang tak pandai bercinta, walaupun dia tak pandai bercinta tapi dia takut sangat kalau kehilangan saya.
Kami dah setahun bersama dan dalam tempoh itu saya pernah curang dengan dia. Tapi dia masih bagi peluang kedua pada saya untuk saya tebus salah dan silap saya. Dia menangis-nangis dan benda ni buat saya sedar betapa saya penting bagi dia. Dan setelah itu hubungan kami kembali seperti biasa. Saya dan dia chat macam biasa dan lupakan sejarah silam yang lalu. Tetapi apa yang buat saya kecewa, dia ni tak macam perempuan lain. Mungkin sebab dia tak pandai bercinta yang nampak dia macam sombong dan macam tiada mood ingin melayan saya. Banyak kali saya fikir tentang ni dan saya dapat tahu mungkin hati dia dah tawar dengan saya. And ada satu malam tu saya cuba prank dia saya cakap saya nak pergi dari hidup dia. Then dia marah-marah dan menangis. Jadi apa yang saya sangka yang hati dia dah tawar tu mungkin silap.
Yang sebenarnya dia tak pandai bercinta dan dia tak pandai nak luahkan. Saya faham perasaan dia. Tapi kadang-kadang dengan sifat dia yang macam ni saya boleh rasa akan hakis hati saya secara perlahan. Saya takut andai satu saat saya tinggakan dia sebab dah tak berminat lagi dengan dia. Kadang-kadang saya ada lihat perempuan lain, mereka layan bf mereka dengan baik, okay je. Rasa tenang bila saling memahami. Tetapi berbeza pula dengan saya yang memahami tetapi tidak di fahami. Bila saya jawab sepatah, dia balas sepatah, endah tak endah. Pasal hubungan pula dia langsung tak pandai jaga. Hati saya apatah lagi.
Kalau gaduh saya akan cuba satukan balik. Kalau harapkan dia ego dan tak tahu selesaikan masaalah. Saya dah cuba nasihatkan dia. Tapi nampak macam dia keras kepala. Bila saya kata saya nak pergi dari hidup dia, dia menangis lagi. Saya tak faham dengan dia, tentang isi hati dia yang sebenarnya. Dia kata dia tak pandai luahkan, dia tak tahu. Dia kata dia akan tulis dalam diary semua tentang saya. Kadang kala saya terfikir dia perempuan macam mana sebab dari dulu sampai sekarang saya masih tak faham dengan perangai dia. Selalunya saya yang bagi perhatian kat dia, kasih dan sayang. Tapi dia jarang sangat kalau nak ucap semua tu. Dia banyak diam. Kadang-kadang saya rasa marah dan geram tapi saya sabar. Pernah dia kata dia takut kehilangan saya sebab dia kata takde lelaki yang mampu bertahan dan bersabar dengan dia. Hanya saya yang mampu dan memahami semuanya tentang dia. Mungkin sebab tu dia takut saya pergi.
Tapi macam mana pula dengan saya? Adakah saya nak macam ini? Saya juga nak di fahami. Kadang kadang rasa nak putuskan je hubungan ni tapi berat hati pula sebab saya juga sayangkan dia.
Ok itu jelah yang boleh saya luahkan. Saya harap ada orang yang pernah mengalami masaalah cinta macam saya. Mungkin Doktor Cinta boleh jelaskan mengenai ciri-ciri perempuan macam ini. (*′☉.̫☉)
Sumber: Online Form Submission
Waalaikumsalam, Nazrin. Sihat? Semoga sihat-sihat sahaja hendaknya.
Saya sudah pun membaca luahan hati awak dan memahami kekeliruan yang awak hadapi. Begini awak, saya mendapati teman wanita awak ini bukanlah seorang yang tidak pandai bercinta. Semua orang pandai bercinta. Cuma dia perlukan orang yang tepat untuk melihat cinta yang dia pamerkan. Wah, ini bukannya nak back up teman wanita awak tau?
Pernahkah awak mendengar 5 jenis bahasa cinta oleh Dr Gary Chapman? Ok lah kalau dah pernah dengar pun, saya akan senaraikan jugak 5 jenis bahasa cinta itu iaitu: pertama, “words of affirmation” iaitu kata-kata penegasan, iaitu mempamerkan cinta melalui kata-kata seperti “I miss you”, “I love you” dan lain-lain. Kedua, “quality time” yang bermaksud masa yang berkualiti. Iaitu menghargai pasangan yang meluangkan masa untuk bersama-sama dengannya melalui aktiviti contohnya seperti berbual, berbincang isu semasa, dan menonton TV bersama. Ketiga, “receiving gifts” (menerima hadiah) iaitu menilai rasa cinta melalui penerimaan hadiah seperti bunga, kad surprise, dan yang seangkatan dengannya. Keempat, “acts of services” iaitu mempamerkan rasa cinta melalui perbuatan membantu, contohnya membantu melakukan tugas di rumah, membantu mengisi borang bantuan yang kerajaan beri, atau membantu baiki kereta pasangan yang rosak di tengah jalan. Kelima, “physical touch” iaitu mempamerkan rasa cinta melalui sentuhan. Orang sebegini biasanya sukakan pelukan mesra 5 saat, dan sentuhan tangan. Itu sudah cukup buatkannya bahagia dan rasa dicintai.
Bagi saya, lebih PENTING memahami diri sendiri terlebih dahulu sebelum memahami orang lain. Kerana apa? Kerana setiap keluhan yang datang dari hati awak sekarang ini adalah kerana awak kehausan “bahasa cinta” dari teman wanita awak. Apabila awak memahami diri awak, barulah awak boleh berterus terang dengan teman wanita awak tentang apa yang awak perlukan. Itu pun jika dia betul-betul tak nak kehilangan awak. Tapi nampaknya dia benar-benar takut kehilangan awak, bukan? So, kenapa tidak awak cuba berterus terang tentang apa yang awak perlukan daripada dia? Namun, tahukah awak apa sebenarnya bahasa cinta yang awak perlukan?
Pada pandangan saya, awak seorang yang jenis pertama (“words of affirmation iaitu kata-kata penegasan), dan kedua (“quality of time” iaitu masa berkualiti) kan? Awak tidak perlu mengiyakan telahan saya kerana hanya awak yang mengenali diri awak dan apa yang awak mahu atau yang paling awak hargai. Begini, daripada keluhan hati awak, awak mengatakan bahawa awak cemburu melihat perempuan lain yang melayan boyfriend mereka dengan baik, tak seperti teman wanita awak melayan awak. Tindakan awak dengan menguji ingin berpisah dengannya juga membuktikan yang awak sangat ingin mendengar dia berkata yang dia amat perlukan awak. Bahkan apabila awak curang pun, dia masih mahukan awak. Ini amat menunjukkan yang dia amat setia dan menyayangi awak. Awak patut bersyukur! Mungkin, apa yang awak perlukan untuk rasa dihargai adalah kata-kata cinta, rindu dan sayang dari pasangan awak. Dan juga masa berkualiti seperti keluar menonton wayang bersama, makan bersama, berborak tentang hobi, kerjaya dan apa sahaja. Ini adalah perkara simple yang pasangan-pasangan bercinta sering lakukan. Cuba ambil waktu yang tenang untuk berbincang dengan pasangan awak tentang apa yang awak inginkan ini. Setiap perhubungan yang berjaya mempunyai komunikasi yang baik, tahu? So, berbincanglah baik-baik. Saya pasti, dia pun mahukan yang terbaik demi hubungan ini, cuma dia kabur tentang apa yang awak inginkan.
Kalau dari segi penceritaan awak, saya menyedari bahawa teman wanita awak itu bukanlah tergolong dalam jenis yang pertama (“words of affirmation”), dan yang kedua (“quality time”). Awak tidak perlu mengiyakan tekaan saya ini kerana hanya awak yang lebih mengenali teman wanita awak, OK? Mungkin juga dia tidak pandai mempamerkan perasaannya sekarang ini. Tapi, awak boleh cuba melihat sisi baiknya yang lain. Mungkin dia rajin membantu awak sekiranya awak memerlukan pertolongan? Mungkin juga dia menghargai jika awak memberinya kejutan di hari-hari biasa. Sejambak bunga ros, mungkin? Hanya awak yang boleh menilai.
Cinta bukanlah hanya berkisar kepada “I love you” dan “I miss you” sahaja. Ia lebih dari itu dan wujud dalam pelbagai bentuk. Kita juga punya banyak contoh daripada ibu bapa zaman dahulu yang tak biasa menyebut sayang dan rindu kepada anaknya, namun bila anaknya mengadu tak ada duit je, cepat-cepat dia pergi jual bertandan-tandan sawit. Itulah cinta baginya. Cinta baginya adalah memberi apabila diminta. Tak sanggup pun nak biarkan anaknya takde duit nak makan.
Saya berharap coretan saya dapat merungkai kekusutan dalam fikiran Nazrin. Selamat bercinta ya!