Nama: Yeng
Jantina: lelaki
Assalammualaikum doktor cinta.
Saya dah bersama pasangan saya sejak dari 2015 sampailah sekarang dan dulu kami sering “on off relay” disebabkan pergaduhan antara kami. Sekarang ini, saya sudah kembali bersama pasangan saya sejak bulan 6 tahun lepas sampailah sekarang. Pada asalnya, saya dengan pasangan saya sering bergaduh berpunca daripada saya sendiri. Saya cuba memujuk tetapi tetap gagal melembutkan hatinya malah dia sering berkata yang dia selalu memujuk hatinya sampailah saat ini.
Sekarang, ceritanya kami tersilap bercerita tentang kisah silam kami, akhirnya dia tidak boleh menerima kesalahan dari kisah silam saya padahal kesilapan itu sebelum saya berjumpa dengannya. Sekarang kami buntu dan saya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan perkara ini. Malah dia meluahkan yang dia memang sayangkan saya dan dia meminta saya menolongnya. Saya tidak tahu bagaimana nak membantu dia dan dalam masa yang sama memperbetulkan keadaan saya dengannya. Saya bercakap dengannya yang saya akan memperbetulkan keadaan ini tapi saya tak tahu bagaimana harus saya lakukan. Dan dalam masa yang sama, saya perlukan tips bagaimana untuk memujuk hati pasangan saya.
Tolong saya doktor cinta.
Assalamualaikum.
Sumber: Email Doktor Cinta
Waalaikumsalam, Yeng.
Asam garam percintaan memanglah perlu disulami dengan pergaduhan dan perselisihan faham. Sedangkan degupan jantung pun ada naik turun, inikan pula cinta awak dan dia. Semua ini adalah norma percintaan yang kelak akan menjadi manis untuk dikenang.
Sewajarnya kisah silam tak perlu dibincangkan, ianya adalah memori, dan akan kekal sebagai memori. Tiada mesin masa pun untuk membawa kita pulang ke masa lalu, untuk kita mengubah masa silam kita. Doremon punya mesin masa pun hanyalah dongeng. Nyatanya, kita semua sedar bahawa tiada gunanya bertengkar kerana masa silam kita. Ibaratnya, melihat susu yang tumpah, kita tak mungkin boleh kaut balik semua susu untuk kembali ke bekasnya. Masa silam kita ibarat susu. Kita tak boleh membetulkan keadaan menjadi seperti sebelumnya, tapi kita boleh mengambil pengajaran daripada kejadian itu atau masa silam kita.
Pada pandangan saya, ianya memerlukan awak sendiri merenung kembali masa lalu awak, dan berjanji dengan tekad untuk tidak mengulangi kesilapan-kesilapan tersebut. Namun, oleh kerana hati kekasih awak juga terluka dek mengenang kesilapan masa silam awak, maka hanya awaklah yang perlu menjelaskan bahawa ianya akan kekal menjadi sejarah, dan awak sedang belajar memperbaiki segala kekurangan diri awak. Terangkanlah padanya bahawa awak benar-benar tidak mahu menjadi seperti diri awak yang dahulu lagi, dan ingin menjadi orang yang lebih positif, orang yang lebih bersedia untuk menyayangi dirinya.
Tipsnya, rendahkan ego, dan belajar fahami bahasa cinta kekasih awak. Mungkin, kekasih awak sejenis yang sukakan kekasihnya memberikan dia hadiah, belanja makan, surprise bunga, surprise love note. Atau mungkin kekasih awak suka jika awak membantunya menyelesaikan masalah-masalah dan tugasannya. Mungkin juga dia sukakan kata-kata pujian, kata-kata cinta setiap kali berkomunikasi dengan awak. Ini adalah contoh-contoh bahasa cinta yang perlu awak kenalpasti daripada kekasih awak. Kdang-kala kekasih awak kecewa bukanlah kerana awak tidak mencukupi untuknya, tetapi kerana awak tidak memenuhi keperluan bahasa cintanya. Sebagai contoh, awak mengatakan bahawa kekasih awak sering memujuk dirinya sendiri apabila terluka. Jadi mungkin, apa yang dia perlukan adalah kata-kata cinta seperti dia sangat berharga, awak perlukan dia sebagai teman hidup, dia mencukupi untuk awak, dialah yang awak cari selama ini. Begitulah contohnya jika kekasih awak seorang yang memerlukan kata-kata penguat dalam meyakinkan cintanya, supaya dia merasa berbaloi untuk meneruskan perhubungan ini. Tapi, beri sekecil-kecil hadiah pun berbaloi, tahu?
Saya berharap awak dan pasangan tidak berlama-lama dalam emosi yang negatif, yang kecewa begini, kerana ianya hanya merugikan kedua-dua awak dan dia. Hidup ini sementara, sayang menyayangilah seolah-olah esok kita sudah tiada 🙂