26 June 2025

Janji Mahu Kahwin Selepas Tiga Tahun Bercinta Tiba-Tiba Berubah.

Nama: TiMalina

Jantina: Perempuan

Assalamulaikum doktor cinta. Saya dah jalin hubungan dengan buah hati selama 3 tahun. Dia berjanji dengan saya untuk kahwin pada tahun hadapan. Hubungan kami okay je. Ada 2 hari tu tiba-tiba dia stress dan mengatakan kat saya dia dah malas nak fikir pasal kahwin. Dan dia sudah tak contact saya lagi. Dia sudah berjumpa dengan family saya 2 kali yang dia akan jadikan dia isteri dia. Disebabkan masalah kewangan keluarganya dia lepaskan saya. Dia juga beritahu pada saya yang mak dia okay sahaja kalau kami berkahwin. Masalahnya pada diri dia.

Dia macam risau, tak yakin, tak ready untuk kahwin. Apa saya boleh buat untuk pujuk dia?

Sumber: Facebook Doktor Cinta

Waalaikumussalam sis.

Dari situasi awak ini, kemungkinan besar yang boleh terjadi adalah buah hati awak sedang menghadapi situasi yang dia tak mampu untuk jelaskan kepada awak secara terbuka. Mungkin dia bimbang akan melukakan hati awak atau menimbulkan salah faham atau tidak mahu membebani fikiran awak.

Pada pendapat saya, adalah lebih baik jika awak pujuk dan ajak buah hati berbincang dengan baik secara berhadapan dan minta dia jelaskan keadaan sebenar supaya tiada situasi berteka-teki. Yakinkan dia, awak ingin bantu dia dan jayakan hubungan ini bersama-sama. Yakinkan dia, susah senang biarlah bersama. Kiranya, biarlah segala yang terpendam, diluahkan pada masa itu. Dan kedua-dua pihak, perlu bersedia untuk uruskan situasi selepas itu dengan baik.

Perlu juga diingatkan, jika ruang ini dibuka, awak perlu bersedia untuk mendengar dan menerima luahan yang boleh jadi bertentangan dengan kehendak awak. Perkara utama di sini adalah, awak nak tahu kebenaran apa sebenarnya yang terjadi. Kebenaran boleh jadi sesuatu yang pahit. Pada waktu ini, awak hanya perlu menjadi pendengar sahaja dan biarkan buah hati awak luahkan sampai habis.

Selepas awak tahu apa sebenarnya yang terjadi yang menyebabkan buah hati awak bertingkah-laku sedemikian, baru awak akan tahu apa langkah seterusnya.

Dalam setiap hubungan yang berjaya, tidak pernah lepas dari pegangan “setiap situasi, boleh dibawa berbincang”. Semoga awak dan buah hati dapat menyelesaikan situasi ini dengan baik ya!

Kongsikan!

Leave a Reply

Your email address will not be published.