Nama: Nina
Jantina: Perempuan
Hai. Saya Nina. Saya ada boyfriend, kami kenal dr social media. Di awal perkenalan, dia sudah bekerja dan saya belajar sem akhir. Kemudian, saya habis belajar dan bekerja. Namun, dia pula menyambung degree di Universiti di negeri lain yang agak jauh. Jadi kami tidak selalu berjumpa.
Hubungan kami dah setahun 4 bulan. Masalah yang saya hadapi sekarang, saya ingin berkahwin tetapi disebabkan dia masih lagi belajar dan dia meminta saya menunggunya selama 2 tahun dan pada masa itu umur saya akan menghampiri 30. Saya tak ingin kahwin terlalu lewat. Sekarang, hubungan saya dengan dia secara jarak jauh. Disebabkan dia selalu sibuk dengan kelas lebih2 lagi pada musim PKP ini, saya merasakan dia tak lagi melayan saya seperti dulu.
Jarang call dan bila saya call selalu tak diangkat. Saya rasa sakit hati. Satu hari, saya hantar mesej kepadanya berbunyi saya dah tak tahan dengan perangai yang macam ni dan saya harap satu hari nanti saya akan berjumpa dengan lelaki yang boleh bahagiakan saya dan tak akan sakiti saya. Jadi, saya ingin meminta pandangan cik tentang masalah saya ini. Terima kasih.
Sumber: Facebook Doktor Cinta
Waalaikumussalam Nina.
Beruntung Nina mendapat seorang lelaki yang berwawasan dan mementingkan kestabilan hidup sebelum dia benar-benar yakin dapat menjaga dan menyara seorang suri hati selepas berkahwin nanti.
Dalam sesuatu hubungan, jika kita dan pasangan benar-benar cintakan dan sayang satu sama lain, kita akan sama-sama berusaha untuk berkorban demi menjayakan sesuatu hubungan.
Ini kerana, kita mahu membina hubungan kita dan pasangan sehingga ke akhir hayat. Nina dan pasangan ada perjalanan bersama yang sangat panjang.
Mendirikan rumahtangga adalah salah satu check point dalam sesuatu hubungan. Cepat atau lambat, ia bergantung kepada banyak faktor yang mempengaruhi kelangsungannya seperti kemampuan kewangan, kesediaan mental, kemampuan dari segi fizikal, restu ibu bapa dan banyak lagi.
Pasangan Nina menyatakan dia mahu memfokuskan kepada pelajarannya dan meminta Nina untuk menunggu dua tahun untuk memberi laluan kepadanya mencapai cita-citanya terlebih dahulu. Namun, itu tidak bermaksud dia tidak sayangkan Nina. Apatah lagi nak menyakitkan hati Nina. Bukan dia menduakan Nina pun kan?
Kerana sayanglah, dia mahu meningkatkan taraf pendidikannya supaya dia dapat memberikan kehidupan yang lebih baik dan selesa untuk Nina.
Dalam hubungan cinta, kita harus ada perasaan empati, iaitu meletakkan diri kita di dalam kasut seseorang itu dan cuba memahami situasi pasangan kita. Nina sepatutnya bersyukur kerana dia sibuk dengan pelajaran dan hal yang dapat memberikan kebaikan untuk masa depan dia dan Nina.
Pada pendapat saya, perubahan dalam cara layanannya kemungkinan berpunca dari cara Nina melayan si dia juga. Si dia sebenarnya memahami niat Nina untuk berkahwin. Tetapi desakan Nina seolah-olah memaksanya untuk membuat pilihan yang rumit dan berat baginya. Lama-lama dia merasakan Nina tidak memahami dirinya yang sedang melangsungkan perkara yang penting dalam hidupnya iaitu pelajaran.
Nina harus faham. Lelaki adalah makhluk Tuhan yang secara fitrahnya mencari rezeki untuk keluarga, yang mempunyai rasa untuk majukan dirinya demi kehidupan keluarga yang lebih baik. Dia bekerja keras tidak bermaksud dia tidak pentingkan Nina. Cuma mungkin Nina perlu cari waktu yang sesuai untuk berbual dengan dia di mana dia pun boleh fokus kepada Nina. Berikan waktu dan pilihan untuk dia.
Bayangkan, dikala dia sedang bertungkus-lumus melangsungkan pelajarannya, dia dihujani lagi dengan permintaan untuk berkahwin. Kemungkinan situasi ini menyebabkan dia susah hati dan mula jauhkan diri dari Nina.
Nasihat saya, mudahkanlah cara dengan mengamalkan give and take. Hubungan yang bahagia bukan datang dari satu pihak sahaja. Nina juga perlu berusaha membahagiakan dia dengan berkorban beberapa perkara. Jika Nina benar sayangkan dia dan hubungan ini, Nina kuatkan kesabaran dan isilah tempoh dua tahun itu dengan perkara yang Nina suka. Beri dia ruang untuk mencapai cita-citanya.
Percayalah, lelaki yang rasa diri dia difahami dan dihormati, adalah lelaki yang mampu membahagiakan kita. Untuk rasa bahagia, Nina harus memberi.
Insya-Allah dua tahun tu sekejap sahaja. Mungkin pada waktu itu keadaan lebih stabil dan lebih selesa untuk mendirikan rumahtangga berbanding dengan situasi yang sempit dan dan rumit pada masa sekarang ini.
Bak kata pepatah orang putih, “Good things come to those who waits!”