Nama: Farah
Jantina: Perempuan
Hai assalamualaikum. Saya ada masalah dengan boyfriend saya. Dah sebulan hubungan kami ada masalah. Mula2 silap saya dulu sebab memarahi dia kerana dia keluar lepak dengan kawan dia sampai pagi. Puncanya itu saja.
Tapi dia cakap dia dah tawar hati dengan saya. Bila tanya sayang ka tak, dia kadang jawab tak kadang dia mengelak. Bila saya tanya nak halalkan saya ka tak, dia jawab nak. Macam² cara saya cuba untuk mengambil hati dia kembali tapi sampai sekarang hubungan kami dingin. Bila saya hilangkan diri saya, dia cari saya. Bila saya ada, dia buat tak endah saja. Saya ajak keluar selalu mengelak katanya tak ready lagi nak jumpa.
Saya sayang dia lagi. Saya cuba pertahankan hubungan kami.
Sumber: Website Online Form
Waalaikumsalam, Farah.
Bergaduh dalam perhubungan ni macam rencah dalam nasik goreng. Tak ada rencah, tak sedap la kan? Ianya suatu proses dalam perhubungan, yang membuktikan antara perempuan dan lelaki terdapat banyak perbezaan yang masih belum difahami. Ya, pergaduhan selalu terjadi sebab tak memahami perbezaan antara lelaki dan perempuan. Walhal kita nampak jelas dan nyata, antara lelaki dan perempuan sangatlah berbeza, lihat fizikal pun dah tahu kan? Takkanlah sebuah piramid mampu bergolek seperti sebuah bola? Logiknya, tak mungkinlah kan? Itulah contoh metafora perbezaan antara lelaki dan perempuan. Tak kan sama sifatnya, ideologinya sampai bila-bila pun.
Saya ingin mengajak awak mengenali serba sedikit tentang dunia lelaki. Lelaki itu tetaplah lelaki. Pernah dengar simpulan bahasa muka tembok? Kenapa ya simpulan bahasa itu diberikan kepada lelaki? Yang bermaksud bermuka tebal atau tak tahu malu? OK sebenarnya saya tak mahu pun ulas tentang lelaki tak tahu malu, tetapi tentang muka tembok. Tak saja-saja orang dulu-dulu cipta simpulan bahasa mahupun peribahasa, tetapi mereka menciptanya berdasarkan normal. Ya, normal bagi lelaki itu bermuka tembok. Kenapa bermuka tembok? Simpulan bahasa ni muncul sebab lelaki ni suka sangat lepak di tembok-tembok (yang bersifat tebal). Itulah punca “muka tembok”. Harap awak tak peninglah ya dengan apa yang saya terangkan itu. Apa yang saya nak terangkan di sini adalah lelaki memang sifatnya suka melepak. Tak kisahlah di tembok, di kedai mamak, atau di mana sahaja. Itu sifat mereka.
Lelaki sukakan ruang untuk bersendirian, ruang untuk bersama rakan-rakan, ruang untuk menikmati hobi seperti futsal, ps4, berbasikal atau apa sahaja. Mereka memerlukan ruang ini sebagai masa untuk “mengecas bateri” mereka. Yes, bateri perlu dicas supaya nanti lancar bila nak menggunakannya. Kemana bateri ini akan dihabiskan? Ya, tentulah apabila bersama awak. Bersama insan tersayang. Mereka perlu mengecas bateri supaya mereka lebih bersedia untuk mencintai dan dicintai. Ini memang kedengaran agak poyo tapi inilah kebenarannya.
Jika awak mampu memahami dan menghormati sifat mereka yang sebegini, insha Allah, pergaduhan dapat dikurangkan, dan awak dan pasangan dapatlah bercinta dengan lebih harmoni.
Tentang tawar hati, buat bodoh, tapi masih lagi mencari awak apabila awak hilang, itu menandakan dia masih lagi mahukan awak di sisinya. Tenanglah. Bukannya dia tak cinta, cuma masih belum bersedia untuk mula mencinta. Sepertimana yang saya katakan, beri dia ruang. Dia akan kembali apabila bersedia untuk bercinta semula. Namun begitu, awak juga wajiblah lebih memahami sifat semulajadi dia (lelaki) dan lebih menghormati dia selepas ini.
Saya cadangkan, semasa tempoh dia mengambil masa untuk dirinya, awak berilah mesej-mesej cinta seperti biasa. TANPA DESAKAN. Ingat, pada waktu sebegini awak haruslah lebih tabah dan sabar, dan harus ketepikan ego awak. Sayangkan hubungan perlu begini. Cukuplah mesej rindu, sayang, cinta. Semoga hati si dia akan cair apabila mendapat mesej-mesej sebegitu. Awak juga perlulah jaga diri, dan cintai diri sendiri , OK? Kita hanya mampu memberi cinta apabila kita mempunyai cinta. Berhias, make-up, kemas rumah, buat rutin penjagaan diri adalah contoh-contoh mencintai diri. Jangan risau dengan cinta sidia, positif sahaja yang dia akan kembali dengan cinta yang lebih mekar.