Nama: Mia
Jantina: Perempuan
Kami dah bercinta dalam 3 tahun. jarang ada masalah walaupun ldr. Kalau ada masalah pun masih boleh berbincang dgn baik. Tapi bila ldr saya perempuan suka overthinking kalau dia ada perempuan lain. Tapi layanan dia sikit pun tak berubah, hari-hari cakap sayang. Dia baik sangat walaupun kata-kata dia agak pedas tapi banyak sedarkan saya dan ubah saya jadi lebih baik.
Satu hari saya dapat tahu dia ws dgn perempuan. Selalu dia akan cerita dkt saya tapi kalini dia tak cerita jadi saya pelik dan mestilah cemburu. Kami berbincang dan ok semula. Tapi saya asyik terfikir dan saya yg macam cari gaduh cakap pasal tu semula, saya tak dapat kawal perasaan. Saya cakap macam-macam dekat dia sampai buat dia terasa sampai sekarang. Dia cakap dia tawar hati lepas saya cakap macamtu seolah-olah saya tak percayakan dia langsung dan menuduh macam macam. Lepastu saya sedar saya salah, saya serba salah cakap macam macam.
Saya sayang dia sangat. Hari-hari saya doa supaya dia lembut hati untuk kami gembira macam dulu balik. Sekarang kami memberi ruang untuk diri masing-masing bersendirian. Dia pun jenis direct dia suruh saya amik hati dia balik tapi saya taktahu macam mana ðŸ˜. Dah dekat sebulan saya cuba tapi tak menjadi. Saya cuba tapi saya taktahu nak cuba sampai bila.
Ya saya sayang dia, tapi apa lagi boleh saya lakukan? Saya takut kalau lama-lama sayang dia untuk saya mati. Dengan tempoh pkp ni lagi susah untuk kami jumpa. Saya taktahu apa nak buat.
Sumber: Website Online Form
Hi Mia.
Percintaan jarak jauh atau dalam singkatannya PJJ atau LDR (Long Distance Relationship) sememangnya suatu perhubungan yang menguji. Diuji dengan rindu, diuji dengan ketidakpastian, diuji dengan rasa tidak percaya, dan diuji dengan insecurities (perasaan tidak selamat). Itu adalah sisi negatif sebuah perhubungan jarak jauh. Namun, janganlah kita hanya melihat cuma pada satu sisi. Kita menyemai rasa rindu dan cinta apabila berjauhan, bila berjumpa, kita lebih menghargai keberadaannya di sisi kita. Masing-masing lebih cenderung memberi komitmen apabila berjumpa untuk kesekian lamanya. Inilah manisnya bila berjauhan.
Mana-mana pasangan LDR juga akan melalui tempoh yang sama. Sebagaimana Mia, seperti itu juga pasangan lain yang akan mendengar bisikan-bisikan yang akan membuatkan kita merasa insecure atau tak selamat dengan pasangan kita yang jauh di mata. Dari apa yang saya faham, pasangan Mia seorang yang sayangkan Mia, melayani Mia dengan baik, sentiasa mengucapkan rasa cinta, dan tak jemu untuk contact Mia, kan? Beruntungnya Mia.
Percaya. Ini yang perlu Mia semai dalam diri Mia, kalau benar Mia sayangkan perhubungan Mia dengan dia. Maka, percayalah yang dia akan setia dan cinta akan Mia. Tak rugi berfikiran begini. Dia juga akan happy, maka dia juga mampu untuk happy-kan Mia. Bukankah itu yang Mia mahukan? Sebuah perhubungan yang happy? Cinta ini suatu komitmen. Komitmen yang memerlukan kedua pihak untuk menjayakannya, seperti suatu pasukan. Perlukan kerjasama yang jitu. Kerjasama mencapai satu matlamat dalam perhubungan iaitu perhubungan yang bahagia dan berkekalan. Tak adil sekiranya cuma pasangan Mia yang bersangka baik terhadap Mia, namun Mia tidak begitu. Suka atau tidak, Mia harus belajar untuk menangkis segala prasangka buruk terhadap pasangan Mia. Apabila suatu fikiran jahat menerjah fikiran, cepat-cepatlah tarik nafas dalam-dalam, tahan, hembus. Dan ulang proses ini sehingga Mia menjadi tenang.
Dan apabila sudah tenang, barulah Mia fikirkannya semula. Sekiranya masih juga buntu, berbincanglah dengan pasangan. Tapi janganlah pula mendesak ya. Berbincang dengan tenang, tak perlu memasukkan elemen marah, benci dan segala perasaan negatif yang lain. Cubalah menjadi setenang yang mungkin. Menjadi seorang yang tenang sangat penting. Orang yang tenang sentiasa menang. Menang mencapai matlamat. Menang menyelesaikan kekusutan. Cuba Mia renungkan kembali, apa yang Mia dapat dengan melemparkan segala perkara negatif terhadap pasangan Mia? Hanya meninggalkan kesan emosi yang dasyat, bukan? Lebih teruk lagi, kata-kata yang terlontar, tak mungkin mampu dipadamkan lagi. Ianya akan kekal dalam ingatan. Namun begitu, tidak mengapa Mia. Ini sebahagian dari proses dalam percintaan jarak jauh. Ada manisnya nanti. Apa yang Mia boleh lakukan sekarang adalah belajar dari kesilapan.
Saya percaya yang pasangan Mia itu bukanlah tawar hati. Dia cuma kecewa dengan sikap Mia yang membuatkan dia mengatakan bahawa dia tawar hati. Saya suka memetik kata-kata di dalam Filem “Istanbul Aku Datang” lakonan Beto Kusyairi, Lisa Surihani, Tomok, Aizat dan beberapa pelakon lagi. Kata-kata Beto dalam filem itu yang masih saya ingat sampai sekarang:
“Apabila dua hidup dah sebati, tak semudah itu untuk dileraikan”.
Tak mudah untuk melepaskan seseorang yang dah pun kita sayang walaupun sebesar mana pergaduhan yang kita dan pasangan kita alami. Saya yakin, pasangan Mia tu masih sayang, dan berharap Mia mampu berubah menjadi lebih mempercayai dia. Tiada apa yang lebih berharga padanya selain mengharapkan kepercayaan Mia yang jauh di matanya itu. Jadi Mia, rendahkan ego. Pujuklah dia. Tak tahu macamana nak pujuk? Amboi takkan nak saya pujukkan kot? OK OK just kidding. Senyum sikit takmau stress-stress.
Banyak cara untuk pujuk rajukan lelaki ni. Mungkin saya boleh cadangkan beberapa cara. Pertamanya, berilah dia ruang dan masa. Maybe, dua atau tiga hari sudah mencukupi. Lama-lama nanti tak keruan pulak, kan? Mia juga boleh gunakan media sosial untuk memujuk. Itu pun jika hubungan Mia dan dia adalah suatu hubungan yang terbuka pada umum. Bolehlah upload gambar-gambar kenangan ketika gembira dengan caption sweet-sweet contohnya “rindu awak 200%” atau apa-apa sahajalah yang boleh mencairkan hati dia. Mesti dia pun akan tersenyum dan rindu akan kenangan tu. Next, jadi diri sendiri. Tak perlu stress untuk memujuk. Kalau sebelum ini dia yang banyak meluahkan sayang, kini giliran Mia pula. Ya, buat je macam tak ada apa yang terjadi. Teruskan berkomunikasi dengan dia dengan mood yang ceria walaupun mood dia sendu. Ingat, matlamat Mia adalah untuk memujuk, kan? Jadi, ketepikan saja ego. Nanti lama-lama dia pun pelik, macam tak ada apa yang terjadi. Moga-moga dia pun akan terjangkit dengan memikirkan semua dah OK. Beri kejutan. Beri hadiah. Memandangkan awak dan dia ni LDR, mungkin awak boleh tempah surprise planner service yang berdekatan dengan tempat dia. Zaman sekarang ni banyak je servis macamtu, cuma kita kena kreatif sikit mencari. Jangan lupa minta surprise planner tersebut untuk merakam detik-detik kejutan yang mengharukan tu ya. Pasti dia tersenyum menerima kejutan. Siapa yang tak sukakan kejutan kan? Tambahan pula dari orang yang tersayang. Atau mungkin Mia boleh pergi berjumpa dengan dia. Ya, berusahalah lebih lagi. Kalau berjumpa, tengok pula senyuman Mia yang pernah menawan hati dia, pasti cair hatinya nanti.
Cukuplah serba sedikit nasihat yang mampu saya berikan. Harapannya moga Mia tak lagi kusut-kusut. Tenang OK?