Nama: Nur
Jantina: Perempuan
Saya sudah hampir 1 tahun kenal seorg jejaka ini. Kami kenal di media sosial. Dalam masa kami berkenalan, si dia telah meluahkan perasaan dia terhdap saya. Saya seorang student dan dia sudah bekerja. Setiap hari dia layan saya dgn baik. Kami hnya kenal di alam maya sahaja tetapi setiap kali saya ajak jumpa dia mesti beri alasan utk tak nak jumpa. Tapi bila saya tnya sama ada dia serius atau tidak dgn saya, dia pasti menjawab ya.
Dia seorg lelaki yang agak bergaya dan atas setahun dari umur saya 25. Dia seorang steward di salah sebuah syarikat penerbangan yang terkemuka. Walaupun kami sama negeri dan jarak kami tidak begitu jauh, dia tetap tidak berniat utk berjumpa saya. Umm, saya keliru dgn perasaan saya skrg ni. Adakah dia serius dgn saya atau sekadar persinggahan? 😞
Bantu saya admin ?
Sumber: Website Online Form
Hi Nur.
Zaman sekarang ni memang penuh dengan cabaran. Zaman dunia di hujung jari. Nak apa sahaja, order je di atas talian. Shopee, Lazada, Grab Food, Food Panda, dan banyak lagi. Janji ada duit dalam account bank. Cinta pun dah mengikut trend. Persoalannya, releven ke cinta siber ni?
Tak dinafikan ada beberapa cinta siber yang membawa ke jinjang pelamin. Alhamdulillah. Tapi yang menjadi mangsa penipuan cinta siber pun tak kurang banyaknya. Ada yang ditipu wang, diajak berjumpa namun terjadi pula perkara yang tak sepatutnya. Bukanlah hendak menakut-nakutkan, tapi ini realiti kehidupan.
Dalam kes awak yang menjadi kekasih sibernya selama setahun, namun belum lagi pernah berjumpa, cuba selidik dahulu latar belakangnya. Kadang-kadang, gambar di Facebook, Twitter, WhatsApp semuanya boleh direka. Semuanya di hujung jari kan? Semuanya nak nampak sempurna. Tambahan pula awak masih belum pernah berjumpa dengannya, perlulah khuatir sedikit, bukan? Pelbagai persoalan bermain di fikiran; benarkah steward? benarkah itu adalah dia? Siapa keluarga dan rakan-rakan dia? Semua ini perlu diambil kira sebelum betul-betul ingin berjumpa. Saya tegaskan sekali lagi ya, ini bukan hendak menakutkan awak, tetapi saya ingin mengajak awak berfikir semua dan mengambil langkah berjaga-jaga.
Libatkan rakan-rakan dan juga keluarga jika benar-benar mahu serius dalam hubungan cinta siber ini ya. Untuk menjawab soalan awak bahawa adakah dia benar-benar serius ataupun sekadar persinggahan, ianya hanya awak akan mendapat jawapannya setelah awak benar-benar mengenali diri dia. Berbincanglah dengannya untuk berjumpa, namun jangan lupa bawak ahli keluarga ataupun rakan sebagai peneman. Jika dia benar sayangkan awak, maka tentu sekali dia ingin meneruskan hubungan ini ke peringkat seterusnya iaitu dengan mengenali awak, keluarga awak, dan rakan-rakan rapat. Bukankah begitu yang sepatutnya?
Oleh itu Nur, fikir-fikirkanlah.