26 June 2025

Sikap Baran dan Cemburu Ku Kini Membunuh Cintanya Kepadaku Namun Sayangku Masih Bersisa.

Nama: Shah

Jantina: Lelaki

Saya dengan partner saya ni baru sahaja berpisah tapi saya masih sayang kan dia. Di sebab kan baran saya, saya sanggup pukul dia dan sekarang ni dia dh tinggal kan saya dan dia telah pilih orang lain untuk gantikan tempat saya akibat baran dan cemburu saya. Saya dah kehilangan orang yang saya sayang dan saya menyesal sebab buat dia macam tu lagi pon dia dah tawar hati dengan saya.

Adakah saya masih ada perluang untuk balik pada dia?

Sumer: Website Online Form

Hi Shah.

Ternyata perpisahan memang menyakitkan Shah, harap Shah tabah menghadapi segala ini sekarang. Cemburu dan baran adalah satu kombinasi negatif terhadap perhubungan yang sepatutnya dielakkan. Secara psikologinya, sifat begini kita pelajari tanpa sedar daripada perhubungan-perhubungan lelaki-perempuan yang kita lihat sedari kecil. Kita lihat mereka tidak menghormati pasangan dengan becakap kasar, memukul, dan pelbagai lagi sikap yang negatif. Secara tanpa sedar, otak kita merakam bahawa kita perlu bersikap begitu dengan pasangan kita. Namun, itu hanyalah sebahagian kes. Tidak semuanya menghadapi perkara begitu sejak kecil.

Mereka bersikap cemburu dan baran begitu walaupun pada orang kesayangan. Apabila sudah terlanjur memukul, barulah timbul penyesalan di hati, bukan? Namun begitu, hati pasangan juga ada terkesan. Pelbagai emosi negatif mula bercambah seperti rasa takut, tak selamat, dan kecewa terhadap pasangan. Emosi begini yang perlu kita fikirkan dan titik beratkan. Tak bolehlah cuma kita yang menyesal tapi tetap juga mengulanginya kemudian hari. Tindakan begitu hanyalah memberat kepada pentingkan diri. Kasihan si dia. Awalnya, dia ingin menjalin cinta dengan awak kerana ingin dilindungi dan dikasihi, tetapi apa yang dia sangka tidak terjadi. Pastinya dia kecewa, lalu mencari jalan keluar dari hubungan yang menyakitkan hatinya ini.

Pada pandangan saya, biarlah dia mencari bahagia dan mengubati hati dia. Awak, ubatilah sikap dan hati awak terlebih dahulu. Belajarlah lebih mencintai diri sendiri kerana tiada siapa lagi yang sanggup mencintai diri kita lebih dari diri sendiri, bukan? Saya ingin membawakan awak konsep ADA, BERI, dan DAPAT. Harap awak dapat memahami konsep ini dan aplikasikan dalam kehidupan awak. Mudah, saya beri contoh puding karamel. Awak ADA puding karamel, awak dapat BERI puding karamel, awak DAPAT bahagia kerana melihat orang bahagia makan puding karamel awak. Begitu juga dengan cinta. Awak ADA cinta, awak BERI cinta, dan awak akan DAPAT bahagia kerana melihat orang yang awak cintai itu, bahagia menerima cinta awak. Dalam situasi awak sekarang, saya menafsirkannya sebagai kurang cinta. Orang yang penuh rasa cinta di dalam hatinya akan bahagia, akan berlapang dada dan tenang menghadapi segala masalah pun. Oleh sebab itulah awak perlu lebih mencintai diri awak terlebih dahulu. Penuhkan diri dengan rasa cinta, barulah awak boleh mencipta hubungan yang tak akan mencederakan hati pasangan awak. Ini penting kerana tidak mahu perhubungan yang baru pun awak akan menghadapi masalah yang sama.

Cintai diri sendiri ni banyak caranya. Amalan bangun pagi, kemas bilik tidur, senaman, minum segelas air suam dan mengucapkan kesyukuran juga suatu bentuk cintai diri. Kita memulai kehidupan dengan perkara-perkara positif dengan harapan hari itu akan berlalu dengan lebih baik. Sentiasalah berkata pada diri bahawa “saya tenang, saya penyayang, saya sayang diri saya, saya maafkan diri saya, saya bahagia dan membahagiakan”. Ucapkan kata-kata begini supaya otak akan rekod dan memberi signal kepada badan untuk bertindak seperti ucapan-ucapan positif itu. Tak susah kan? Amalan-amalan begini percuma je, tinggal kita nak praktikkan. Tapi itulah, nak berubah perlulah berusaha sedikit.

Bergantunglah dengan tali tuhan. Sujud kepadanya. Cari redhanya. Moga daripada situ awak bertemu dengan ketenangan dalam diri awak dan berubah menjadi lebih baik dan lebih baik dan lebih baik lagi dari sehari ke sehari. Daripada saat sujud itu jugalah awak R.I.P (Redha, Ikhlas, Pasrah) dengan segala apa yang terjadi dalam hidup awak sekarang ini. Mudah-mudahan.

Kongsikan!

Leave a Reply

Your email address will not be published.