26 June 2025

Apa Dosaku Dicurangi Dan Difitnahi Oleh Kekasih Yang Aku Kenali Di Media Sosial?

Nama: KuSa

Jantina: Perempuan

Assalamualaikum Doktor Cinta.

Saya nak minta pendapat dan apa yang perlu saya lakukan? Saya mengenali dia melalui media sosial, makin hari hubungan kami makin rapat sehinggalah kami jadi pasangan bercinta. Setiap hari call, video call, whatsapp tanpa jemu. Sepanjang hubungan, saya byk mngalah dengan si dia. Selama 2 tahun lebih kurang hubungan kami, rupanya banyak rahsia yang dia sembunyikan dari saya. Saya cuba cari sendiri apa sebenarnya yang dia sembunyikan dari saya, memandangkan perangai dia makin hari makin berubah. Rupa-rupanya selama dia berhubung dengan saya, dia ada teman lain. Diorang kenal dah lama dari waktu zaman belajar lagi. Hubungan yang lebih dari seorang kawan. Pernah berkali-kali saya tanya pasal perempuan ni siapa, dia hanya mengaku sebagai kawan baik.

Saya usaha mencari nombor perempuan ni, akhirnya saya dapat. Kebetulan juga perempuan ni mencari saya. Dan dari situlah semuanya kantoi. Dalam si dia menyemai cinta dengan saya, rupa-rupanya dia ada orang lain juga dalam hidup dia selama ni. Yang lebih menyakitkan hati iaalah si dia menfitnah saya. Dia menerangkan pada perempuan tu yang saya perangkapnya selama ni. Yang call dia, video call dia, macam-macam dia mengata saya.

Apa yg dia katakan itu semua nya ada bukti, iaitu perbualan whatsapp antara dia dengan perempuan tu. Hancur luluh hati saya bila dapat tahu semua ni. Dan dalam masa yg sama dia tetap tak mengaku yang mereka berdua ada hubungan lebih dari seorang kawan. Disebabkan ini hubungan kami putus dan perempuan itu jugak katanya nak move on, rasa tertipu dan mahu melupakan dan lari dari hidup si dia. Sy tak pasti, sama ada sekarang mereka masih berhubung atau pun tak, yang pasti dah 2 bulan saya tak hubungi si dia selepas kitaorg putus. Dan tetiba baru-baru ini dia whatsapp saya minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki dengan apa yg dia dah lakukan sblm ni. Saya cuba utk menerima dia walaupun hati saya tersangat sakit. Saya tidak mampu untuk mmbenci dia, dan susah utk maafkan tapi saya cuba pujuk hati saya supaya jangan simpan perasaan benci. Saya reply mesej dia, dia call sy angkat dan saya layan dia spt tiada apa apa yg berlaku sblm ni. Walaupun hati saya sgt terkesan dngan semua ni, dia tahu saya susah utk maafkan dia. Katanya dia nak settlekan semua ni n jumpa saya nanti. Dan saya pernah bagitahu dia, kalau awak masih berhubung dengan perempuan tu, saya harap awak jujur dengan saya, sebab saya dah penat dengan semua ni. Kalau awak masih saya nak berambus.

Tapi dia tidak jawab soalan saya. Dia abaikan dan buka topic lain. Walaupun hubungan kitaorg sekarang dah tak sama macam dulu, tapi kitaorg sentiasa berhubung seolah-olah seperti waktu mula mula kitaorg kenal. Tetiba sekarang dia hilang. Dia tak reply whatsapp saya tapi dia online. Saya mesej dia berkali kali tapi dia tak reply. Saya tak tahu apa sebenarnya yang dia fikirkan. Selagi dia diam macam ni, apa yang saya tahu? Walaupun banyak kali saya tanya, saya sendiri pun dah buntu dan tak paham. Dalam saya cuba menerima dia, walaupun saya tak pasti apa status hubungan kitaorg sekarang, dia boleh buat macam ni kat saya. Apa sebenarnya motif dia? Setelah 2 bulan saya cuba jauhkan diri, dia kembali minta maaf dan sy cuba utk terima dia, tetiba dia ignore saya. Apa sbnrnya yg dia nak?

Doktor Cinta, apa yg perlu saya lakukan? Ya saya mengaku saya masih sayangkan dia, sukar utk saya move on tapi saya penat. Sakit hati saya. Perlu ke saya diamkan diri juga atau whatsapp dia lagi tnya kenapa dan apa motif dia buat saya macam ni? Tapi saya rasa sia-sia kalau saya whatsapp dia pun, dia takkan reply. Sekadar utk kepuasan hati saya boleh la, luahkan apa yg terbuku. Bagi saya komunikasi dua pihak amat penting tapi kalau perangai dia macam ni sampai bila bila pun masalah takkan selesai.

Apa yang patut saya lakukan? .

Sumber: Facebook Doktor Cinta

Waalaikumsalam KuSa.

Pertama kalinya saya ingin mengucapkan tahniah kerana merasakan KuSa seorang yang matang dalam perhubungan. Seorang yang menyedari betapa komunikasi dua hala di dalam suatu perhubungan itu, teramatlah penting.

Apa yang saya nampak sekarang ini adalah suatu motif yang tidak jelas dalam perhubungan KuSa. Pasti kusut terjerat dalam perhubungan yang sebegini, kan? Saya faham, perempuan sememangnya memerlukan sebuah jaminan dalam perhubungan. Jaminan yang wujud dalam pelbagai bentuk. Jaminan yang memberitahu hala tuju sesuatu perhubungan. Tak mahulah asyik berulam hati yang tawar dan jantung yang basi sahaja kan bila cinta dah terbuang begitu saja? Macam dalam adat melayu, jaminannya berbentuk ikatan pertunangan. Itu jaminan yang jelas. Jaminan juga berbentuk perkataan. Janji-janji yang sidia akan terus bersama kita hingga ke akhirnya, namun jaminan sebegini seharusnya meyakinkan. Jadi, jaminan apa yang KuSa ada dalam perhubungan dengan sidia sekarang ni?

KuSa, selingkuh, curang, bukan sesuatu yang semulajadi. Ia adalah suatu bentuk pilihan. Bak kata Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, hidup ini pilihanraya. Kita celik je mata, kita dihidangkan oleh pelbagai pilihan; dosa atau pahala? Syurga atau neraka? Tapi bukanlah itu yang saya nak tekankan di sini. Apa yang saya ingin tekankan adalah sidia itu punya pilihan samada untuk setia ataupun curang. Nampak? Apa yang dia pilih? Tentulah jawapannya curang, kan? Dia mewujudkan pilihan dalam hidupnya. Pilihan-pilihan yang pastinya menyenangkan dia kerana punya “back-up” kalau salah seorang pergi. Amboi, pedih kan perkataan “back-up” tu? Tapi itu realitinya. Jadi, saya nak KuSa berfikir sejenak, apakah ini yang KuSa mahu sebenarnya, iaitu menjadi “back-up” girls atau “pilihan-pilihan” dia? Kalau saya, tentu saja saya tak mahu! Lebih baik jadi single happy je dari menghadap lelaki yang tak tahu nak buat keputusan dalam hidupnya! Iya, lelaki-lelaki curang sebegini mempunyai pemikiran yang tidak matang. Mereka tidak mampu membuat keputusan dalam hidup mereka. Lihat sahajalah cara mereka mengawal perasaan mereka? Tak mampu nak kawal rasa cinta hanya pada satu perempuan pun lalu mencipta pula hubungan cinta yang bersegi, yang kononnya mereka mampu membahagiakan kedua-duanya, tapi akhirnya apa yang mereka dapat? Salah, bukan apa yang mereka dapat, tapi perempuan-perempuan yang terperangkap di dalam hubungan itu yang tersiksa.

Sikapnya yang tidak berlaku jujur sejak dari awal juga sudah menyakitkan hati. KuSa, sikap seseorang itu bukanlah mudah untuk diubah atau berubah. Ianya memerlukan motivasi yang tinggi jika ingin diubah. Maka sikapnya yang tidak jujur itu, pada pandangan KuSa, adakah akan mudah berubah? Apa jaminan yang KuSa ada jika terus bersamanya dan dia tidak akan menipu lagi? Jawapannya, tiada jaminan. Walaupun ayat-ayat cinta dan janji-janji ditabur, kenyataannya hanyalah KuSa memperjudikan lagi nasib cinta KuSa di tangan orang yang sama yang dahulunya tidak berlaku jujur. Iya, cinta ini suatu perjudian.

Suka untuk saya cadangkan bahawa langkah terbaik adalah memutuskan hubungan dan move on. Lihat dunia ini dari perspektif yang lain. Putuskan segala perhubungan dengan sidia. Ingatlah, ianya lebih mudah memutuskan hubungan percintaan yang tiada akad, berbanding memutuskan hubungan perkahwinan yang berlandaskan akad. Sebelum berkahwin, perempuan masih punya banyak pilihan dalam hidupnya, tapi tidak selepas berkahwin. Namun, apa yang lebih baik adalah berkahwin dengan lelaki yang tepat berbanding lelaki yang curang kerana perkahwinan adalah perjudian hidup seumur hidup. Fikir-fikirkan.

Fokuslah pada kehidupan KuSa. Masih banyak lagi keindahan yang boleh KuSa lihat. Buat apa lagi mahu bazirkan masa, tenaga, perasaan pada yang tidak setia? Pejam mata, dengar bunyi burung-burung yang berkicau, lepak di taman sambil tengok pasangan tua yang bercinta, lebih menggembirakan hati, bukan? Ingat, hidup ini pilihan. Bahagia, atau terus derita? Awak pilihlah.

Kongsikan!

Leave a Reply

Your email address will not be published.