26 June 2025

Boyfriend Suka Merajuk Membuatkan Aku Memikirkan Kembali Hala Tuju Hubungan.

Nama: Gadis Manis

Jantina: Perempuan

Saya baharu menjalinkan hubungan cinta dengan si dia selama 2 bulan lebih. Tetapi makin saya mengenali dia membuatkan saya keliru sama ada nak teruskan hubungan ini atau putuskan hubungan ini kerana dia suka merajuk dengan benda yang remeh.

Saya keliru dan saya dah terlanjur sayangkan dia. Tolong saya doktor cinta.

Sumber: Website Online Form

Hi Gadis Manis.

Semakin mengenali, semakin keliru pula ya? Makhluk bernama lelaki ini macam-macam. Sebelum bercinta nampak macho je. Lepas bercinta, asyik pula nakkan perhatian. Kalau tak beri perhatian, merajuk. Ah. Sweet, bukan?

Tentang keputusan untuk meneruskan hubungan ataupun tidak, terserah pada awak, kerana semakin lama kita dengan seseorang, semakin banyak kejutan yang akan kita dapat. Bukan hanya rajukan, malah mungkin sifat romantisnya juga akan muncul. Manalah tahu? Oleh itu, awaklah yang perlu bertanya diri awak sendiri, tentang kesanggupan awak menghadapi segala cabaran sikap dan kerenah pasangan awak. Namun, suka juga saya cadangkan supaya awak pejamkan mata dan lihat dari sisi baik dirinya pula. Pasti ada sisi baik, sisi positif dia yang membuatkan awak ingin terus bercinta dengannya.

Pernahkah awak terfikir tentang cinta orang tua dulu-dulu yang berkekalan sehingga ke akhirnya? Takkanlah suami tak merajuk? Takkanlah isteri tak memujuk? Bagaimana kebanyakan cinta mereka kekal hingga ke akhir hayat? Jawapannya, mereka tidak hanya melihat pasangan mereka dari suatu sudut. Mereka memandang dari sudut yang menyeluruh. Kadangkala, mereka tidak menyatakan cinta. Tapi mereka membantu meringankan kerja rumah, atau mereka memberi pelukan bila salah seorang kecewa. Tiada lafaz kata-kata cinta pun, cinta mereka bertahan hingga ke akhirnya. Mereka bertahan kerana nilai baik yang mereka pandang pada pasangan mereka.

Ya, setiap orang punya kelemahan, terpulang pada cara kita memandangnya. Adakah kita mahu menjadi mata lebah yang nampak kemanisan di dalam bunga, atau mata lalat yang tetap mencari najis? Tepuk dada, tanyalah selera.

Saya berharap coretan saya memberi sedikit sebanyak penerangan terhadap kekeliruan awak. Selamat membuat keputusan ya.

Kongsikan!

Leave a Reply

Your email address will not be published.