26 June 2025

Memori Cinta Lalu Kembali Mengusik Jiwa Namun Aku Kini Meniti Cinta Yang Baru.

Nama: Anisha

Jantina: Perempuan

Assalammualaikum.

Saya ingin meminta pendapat tentang masalah yang saya alami. Umur saya 24 tahun. Dulu saya mempunyai teman lelaki yang sudah 3 tahun bercinta. Kami putuskan hubungan hujung tahun lepas. Sebab kami putuskan hubungan kerana kami selalu bergaduh dan beranggapan tidak memahami satu sama lain walaupun rasa sayang dan selesa tetap ada. Cuma pergaduhan terakhir tu saya yang memutuskan hubungan itu kerana berasa sudah tidak tahan untuk bersabar lagi. Setelah putus saya tidak berniat untuk berkenalan dengan sesiapa sehingga la saya kenal dengan seseorang ini kerana kami berkerja sekali. Pada mulanya niat cuma berkawan sebab saya tiada hati padanya tetapi dia menunjukkan effort yang dia ingin berkawan lebih dari kawan biasa. Jadi saya memberikan dia peluang untuk kenal dengan lebih rapat, jadi selama perkenalan kami 9 bulan, dia tidak pernah putus menunjukkan effortnya dan menjaga saya dengan baik.

Sekarang dia sudah menjadi teman lelaki saya. Sepanjang perkenalan saya berasa bahagia. Sehingga satu hari, saya diberi ujian. Saya mula teringatkan teman lelaki lama saya, saya mula rasa rindu secara tiba-tiba. Saya solat berdoa supaya jauhkan perasaan itu. Mulanya saya anggap perkara biasa tetapi makin hari makin teruk. Saya asyik terfikir kenangan kami bersama pada waktu dahulu. Saya cuba untuk sedapkan hati, “mungkin ini ujian supaya lihat sejauh mana saya boleh setia”. Saya dan dia ada berhubung sekejap untuk meminta maaf dan tidak mahu lagi berdendam kerana saya fikir mungkin kerana itu saya tidak tenang dan sebenarnya dia memberitahu saya dia sedih sehingga hari ini. Perasaan yang tidak sepatutnya saya rasa, saya rasa rindu.

Saya tidak minta untuk semua ini terjadi tetapi perasaan ini tidak dapat tipu lagi. Tetapi saya pilih untuk bersama dengan teman lelaki saya yang sekarang kerana saya tidak mahu dia kecewa. Walaupun perasaan saya kadang-kadang seperti tidak ikhlas bila ucapkan rasa sayang.

Apa yang perlu saya lakukan?

Saya buntu dan saya inginkan pendapat.

Sumber: Website Online Form

Waalaikumsalam Anisha.

Rindu pada ex memang normal akan muncul sekali sekala. Teringat moments manis sepanjang masa bersama. Lagipun bukan sekejap awak menyulam kasih. Untuk suatu rasa yang telah lama tersemai memang sukar untuk dileraikan. Kita bukan komputer yang boleh diformat, dibuang segala memori. Saya faham.

Namun begitu pernahkah awak terfikir tentang cinta kedua yang sudah wujud dalam hati? Saya percaya bahawa jika benar awak sayangkan cinta terdahulu, hati awak tak mungkin dapat mencuranginya dengan cuba mencintai yang lain. Atau, kemungkinan untuk awak membandingkan cinta sekarang dengan cinta yang dahulu juga ada kerana pada masa sekarang ini awak dalam proses mencuba mencintai.

Percayakah awak, rezeki on-time? Cinta, dapat dicintai, dan mencintai juga adalah rezeki. Cinta sekarang adalah rezeki awak pada masa sekarang. Cinta terdahulu itu adalah rezeki cinta awak pada masa itu. Apa yang awak rasa; sedih kecewa, marah ataupun bahagia pada masa dahulu adalah rezeki awak pada masa itu, yang sebenarnya selayaknya awak rasa, yang sebenarnya Allah telahpun letakkan segalanya pada tempat dan masa yang betul. Mungkin, bekas kekasih awak seeloknya kekal sebagai memori. Awak tak mungkin tahu apa kesan yang akan terjadi jika awak mengambil peluang untuk kembali bersama dia. Awak hanya mampu menjangkakan kebahagiaan, namun yang sebenarnya hanya Allah yang mengetahui.

Hidup yang sekali ini perlu terus-terus pandang ke hadapan. Saya yakin kita juga punya memori kanak-kanak yang sangat bahagia untuk diingati. Rasa alangkah seronoknya jadi remaja kembali, hidup hanya untuk berseronok dengan kawan-kawan tanpa memikirkan komitmen kewangan. Namun hakikatnya, ianya sebaiknya kekal sebagai memori yang indah untuk dikenang dan tak mungkin kita dapat merentas kembali ke masa lalu. Begitu juga cinta lama. Mungkin ianya perlu kekal di situ sebagai memori. Kita, pandang ke hadapan, jalan terus, dan nikmati cinta sekarang, berbahagia dengan cinta sekarang.

Kongsikan!

Leave a Reply

Your email address will not be published.